Belajar untuk bersyukur
Perlahankan rentak kita, lihat sekeliling dan beri perhatian
pada perkara kecil dalam hidup kita. Lihat kecantikan bunga dan rumput yang
melata di tepi jalan, keindahan matahari terbit dan terbenam serta senyuman
orang tersayang.
Ada orang tidak dapat melihat semua ini. Bersyukurlah kerana
kita ada mata yang boleh melihat, ada keluarga untuk berasa disayangi dan
dipanjangkan hayat bagi menikmati lagi ciptaan Allah. Apabila kita bersyukur,
secara automatik, hati akan tenang dan bahagia.
Pilih kawan yang baik
Menurut penyelidik Universiti Harvard, faktor luaran yang
paling penting dan boleh mempengaruhi kebahagiaan dan kegembiraan seseorang
ialah hubungan sesama manusia. Jika mahu bahagia, pilih kawan yang optimis,
menghargai dan menerima kita seadanya serta boleh membuatkan hidup kita lebih
kaya daripada pelbagai sudut seperti pengetahuan, pengalaman, gembira dan
bermakna.
Pupuk rasa simpati dan prihatin
Belajar untuk menyelami dan memahami masalah orang lain.
Cuba fikirkan apa tindakan yang akan kita ambil jika berada di tempatnya. Ini
dapat mengelakkan konflik. Meskipun kadangkala kita mungkin akan rasa tidak
puas hati, fikirkan kesannya jika kita tetap berkeras.
Apabila cuba berdiri di tempat orang lain, kita akan lebih
simpati, prihatin dan dapat memberikan cadangan yang lebih baik untuk
menyelesaikan masalah.
Terus belajar
Proses pembelajaran akan membuatkan kita sentiasa ‘muda’ dan
ia dapat menghidupkan impian. Belajar akan membuatkan otak kita sibuk dengan
perkara baru dan menyempitkan ruang untuk pemikiran negatif. Ini secara tidak
langsung akan membuatkan kita berasa lebih bertenaga, puas dan gembira.
Jadilah penyelesai masalah
Orang yang bahagia adalah orang yang menyelesaikan masalah.
Apabila berdepan cabaran hidup, mereka akan berfikir cara menghadapi dan
menyelesaikannya. Mereka tidak membiarkan masalah membelenggu hidup. Dengan
menjadi penyelesai masalah, kita secara tidak langsung akan membina keyakinan
diri dan kebolehan untuk mencapai impian.
Lakukan perkara yang kita suka
Menghabiskan sebahagian besar masa di tempat kerja boleh
membuatkan sesiapa saja berasa tertekan. Jadi cari peluang untuk melakukan
perkara yang kita suka kerana ia akan memberi impak besar dalam hidup. Jika
tiada hobi tertentu, cari kegembiraan yang bermakna di tempat kerja contohnya
banyak membantu orang atau menyertai aktiviti di pejabat.
Hayati hidup sekarang
Jika kita rasa tertekan dengan rutin harian yang terlalu
mengejar kebendaan, cuba fikirkan apa yang membuatkan kita berasa demikian dan
ia mungkin disebabkan banyak perkara. Hargailah diri dan masa yang anda ada
dengan membahagiakan insan tersayang.
Selalu ketawa
Ketawa ialah penawar bagi kemarahan dan kemurungan. Kajian
menunjukkan dengan menggerakkan bibir untuk mengukir senyuman boleh
meningkatkan rasa gembira. Justeru, jangan terlalu serius. Kalau diperhatikan,
ada banyak perkara dalam hidup ini yang boleh membuatkan kita senyum, gembira
dan ketawa.
Belajar untuk jadi pemaaf
Mungkin ramai tidak sedar perasaan dendam dan marah yang
dipendam sebenarnya ialah hukuman pada diri sendiri. Ia boleh menyebabkan kita
tertekan, hati dan fikiran tidak tenang serta menjejaskan kesihatan.
Apabila kita memaafkan, kita sebenarnya mengundang pelbagai kebaikan datang dalam hidup. Paling penting memaafkan diri sendiri dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Hanya dengan cara ini kita akan belajar menjadi individu yang lebih baik dan kuat.
Selalu berterima kasih
Amalkan untuk mengucapkan ‘terima kasih’ sebagai tanda
syukur khususnya pada sang pencipta. Jangan berkira untuk berterima kasih pada
orang sekeliling kita yang membuatkan hidup kita lebih mudah, tidak kira
sekecil mana pun sumbangan mereka.
Tepati janji
Manusia dipegang pada janjinya. Menepati janji sama ada
dengan orang atau diri sendiri adalah cara untuk kita mendisiplinkan diri. Kita
akan rasa lebih bersemangat dan yakin apabila menepati janji. Memungkiri janji
bukan saja akan menyusahkan orang, malah membuatkan orang hilang kepercayaan
kepada kita.
Meditasi
Menurut penyelidik Universiti Harvard, orang yang melakukan
lapan sesi meditasi secara puratanya 20 peratus lebih bahagia dan gembira.
Sebagai umat Islam, meditasi terbaik adalah menunaikan solat dan beribadat.
Sehari semalam, kita ada lima sesi ‘meditasi’ wajib. Jika dicampur dengan solat
sunat, doa dan zikir harian, ada banyak sesi meditasi yang sepatutnya boleh
membantu kita menjadi menjadi insan yang lebih tenang dan bahagia.
Jadi individu yang optimis
Orang optimis melihat gelas yang berisi separuh sebagai
separuh penuh. Orang pesimis melihatnya sebagai separuh kosong. Orang optimis
mencari manfaat dan hikmah daripada setiap masalah atau cabaran. Dengan cara
ini kita tidak akan kecewa jika apa yang diusahakan tidak memenuhi sasaran
kerana ia dianggap sebagai pengalaman dan tangga untuk meraih kejayaan. Orang
optimis juga tidak cepat berputus asa.
Sayang tanpa syarat
Dalam dunia ini tiada orang yang sempurna. Terima diri anda
seadanya. Begitu juga dengan orang lain baik pasangan, anak, ahli keluarga atau
sahabat. Menyayangi tanpa syarat bermakna kita menerima kekurangan diri sendiri
dan orang lain. Ketahui setiap orang dikurniakan dengan kelebihan dan
kekurangan tersendiri.
Jaga kesihatan
Kesihatan adalah asas kepada kegembiraan dan kebahagiaan. Sukar untuk mencari orang sakit yang gembira dan bahagia dengan penderitaan yang dihadapi. Biasanya kita akan banyak mengeluh dan bersedih apabila sakit. Jadi untuk sihat dan gembira, kita perlu bersenam, jaga makan dan rehat secukupnya. Pada masa sama, jangan abaikan kesihatan rohani. Ada orang kaya dan berjaya tetapi tidak bahagia kerana jiwanya kosong. Berikan rohani semua ‘khasiat’ yang diperlukan.
Beri tumpuan kepada apa yang dilakukan
Apabila kita melakukan sesuatu sepenuh jiwa, tanpa disedari
sebenarnya kita membina satu fasa gembira. Dalam fasa ini, kita tidak kisah apa
orang lain fikir mengenai diri kita. Malah kita juga tidak terkesan dengan
perkara yang kurang penting di sekeliling kita termasuk kata-kata yang tidak
membina!
0 Comments